Sunday, June 22, 2008

BEB SABARIAH

BEB SABARIAH atau nama penuhnya Bibi Sabariah Hj Abang Awet, lahir di Kampung Pusa, Saribas, Bahagian Betong, Sarawak. Lulus Senior Cambridge dari SMK Green Road Kuching beliau terus mendapat pendidikan ikhtisas @ diploma dari Maktab Perguruan Rajang Bintangor, Sarikei dan Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Baharu.

Beliau mula aktif dalam penulisan karya kreatif pada tahun 1999 dalam genre cerpen, puisi, rencana serta rencana kritikan sastera. Menetap di Bandar raya Kuching, Beb Sabariah adalah ahli KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) dan PEKASA (Persatuan Karyawan Sastera Sarawak).

Karya-karya beliau dimuatkan dalam beberapa buah antologi cerpen iaitu KEPEZI SATU, KEPEZI DUA (terbitan Haqaf Enterprise- selenggaraan Zaharah Nawawi) dan Memori Sebuah Rindu (terbitan DBPCS), Antologi Pengucapan Puisi Hari Wilayah-Bandar Raya 2003, 2004, 2005, Antologi Puisi Pertemuan Budayawan BIMP-EAGA 2000, Pelagus-Antologi Sastera Sarawak Jilid 1 2003.

Selain itu cerpen dan puisi beliau juga pernah disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia, Utusan Melayu Mingguan, Berita Minggu, Utusan Sarawak, Mingguan Sarawak serta Majalah Dewan Sastera dan Majalah Wanita.

Beliau juga penerima Anugerah Penghargaan Penulis Sarawak oleh DBP Cawangan Sarawak pada tahun 2001 dalam genre puisi dan Naib Johan Sayembara Menulis Cerpen sempena sambutan 50 tahun DBP-2006 dari bahagian Penerbitan dan Penulisan Sastera Kreatif DBP Cawangan Sarawak.

Mendapat tempat ketiga rencana kritikan sastera Hari Guru dalam Antologi Guru ke-XX tahun 2007. Kini bergiat dalam penulisan novel dan novel pertama berjudul Tirani kini di pasaran. Dalam proses penerbitan adalah sebuah kumpulan cerpen berjudul Mawar Magenta.

...........................................................

NAMA Beb Sabariah mungkin sedikit terlindung dalam lautan manusia yang bergelar penulis di media arus perdana terutama di Semenanjung. Namun bagi penulis dan peminat sastera Sarawak, nama ini cukup gah menghiasi laman kecintaan yang indah itu melalui aktiviti sastera mahupun karya-karyanya.

Seperkara yang cukup istimewa bagi Beb Sabariah yang dikenali masyarakat setempat sebagai Cikgu Bibi biarpun meminati bidang penulisan sastera sejak zaman persekolahan dan maktab perguruan, namun beliau benar-benar menceburi bidang ini hanya pada tahun-tahun akhir kerjayanya sebagai Guru iaitu tahun 2000 dengan cerpennya Rakan Siber @ disiarkan di Mingguan Sarawak.

Sebagai penulis negeri, Beb Sabariah yang lebih awal berjaya dalam bidang penulisan puisi begitu pantas bertapak dan dapat menguasai rantau nasional. Tidak sampai setahun selepas cerpen pertamanya itu menyusul Surat Untuk Nancy Maimunah-disiarkan di Mingguan Malaysia (2001).

Selepas itu bertalu-talu cerpennya disiarkan media arus perdana peringkat nasional dan negeri seperti Menyusur Galur dalam Berita Minggu 14.7.2002, Forum Wanita (Mingguan Malaysia 25.8.2002), Mahkota Di Payang Puri (Mingguan Sarawak 29.2.2004), Di Multazam Rindu Terlerai (Utusan Melayu Mingguan 30.5.2003), Pesanan (Berita Minggu 27.4.2003) Menunggu Mawar Magenta (Majalah WANITA keluaran Februari 2005), Ayah Bagi Balik Tangan 'Ain (Wadah Yang Indah Itu Bahasa/DBP-Utusan Sarawak 27.3.06) dan PM-A Lwn PM (Utusan Sarawak 3.11.2006).

Setiap insan berjiwa seni lazimnya akan terus berusaha menggilap dan meningkatkan kemampuan seninya. Begitu juga Beb Sabariah. Beliau tidak hanya berpuas hati dengan tahap pencapaian yang ada. Bagi mengukur setakat mana kejayaan dapat dicapai dan sejauh mana kakinya boleh melangkah, beliau memasuki pertandingan cerpen sempena ulang tahun DBP 50 tahun peringkat negeri Sarawak.

Penyertaan Beb Sabariah tersebut membuktikan kemampuannya memang tidak lagi wajar dipertikai setelah beliau meraih tempat kedua dengan cerpennya berjudul Mahligai Seri Gading.
Selain cerpen dan puisi, Beb Sabariah juga menulis genre novel dan cerpen kanak-kanak. Novel pertama beliau berjudul Tirani (sedang dalam proses penerbitan) merupakan projek penulisan novel Bahagian Penerbitan DBP Kuala Lumpur dengan Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) yang Beb Sabariah menjadi seorang ahlinya. Sebagai ahli Kepezi, dua buah cerpen Beb Sabariah juga pernah diantologikan. Cerpen Rakan Siber @ dalam Antologi Cerpen Kepezi Satu dan Menyusur Galur dalam Antologi Cerpen Kepezi Dua.

Dalam menggarap hasil-hasil karyanya Beb Sabariah merupakan penulis yang cukup peka dengan segala peristiwa yang berlaku di sekitar. Sesetengah penulis gemar mengangkat cerita daripada peristiwa yang benar-benar terjadi, sama ada pada diri sendiri mahu pun keluarga dan sahabat handai. Berbanding dengan Beb Sabariah, beliau boleh mengolah karya hanya berdasarkan berita yang dibaca atau ditontonnya melalui media cetak dan elektronik.

Cerita digarap bersungguh dengan dibumbui bahan-bahan berharga iaitu ilmu bantu yang diperolehi melalui internet dan hasil pembacaan yang cukup luas; juga beliau memanfaatkan sebaik-baiknya warna kehidupan dan budaya masyarakat setempat. Misalnya novel Tirani yang mengangkat tema pelancongan di Sarawak, novel ini diperkaya dengan adat perkahwinan daripada merisik, bertunang sehingga kepada hari persandingan; selain permasalahan yang cukup jauh untuk diselami iaitu soal pembedahan plastik untuk kecantikan.

Menyentuh sekilas tema yang menterasi cerpen-cerpen Beb Sabariah dalam kumpulan Mawar Magenta ini, ternyata hampir tiada isu yang sama diangkat untuk menyemarakkan minat pembaca, dalam karya-karyanya.

Beb Sabariah mendapat ilham menulis cerpen Surat Untuk Nancy Maimunah apabila perasaan marahnya begitu bergejolak tatkala serangan Amerika ke atas Afghanistan dan Iraq dilancarkan. Cerpen Rakan Siber@ pula berkaitan kegilaan rakyat negara ini apabila dilanda kebanjiran pc dengan kemudahan berhubungan melalui dunia siber biarpun hanya antara jiran di sebelah rumah. Menyusur Galur sesuai dengan judulnya cerpen ini mengetengahkan cerita anak angkat yang ingin mencari ibu bapa kandungnya setelah tidak berpuas hati dengan kasih sayang yang diberikan ibu angkatnya. Setelah dia dibawa menemui ibu kandungnya, gadis berkenaan kembali ke pangkuan ibu angkat.

Nusaibah pula biarpun hanya cerita klise mengenai wanita yang tertipu oleh sikap baik seorang lelaki yang ingin mengahwininya, namun sarat dengan falsafah dan kasih sayang ayah terhadap anak. Sementara Menunggu Mawar Magenta yang sebahagian judulnya diangkat menjadi tajuk kumpulan cerpen ini adalah cerita seorang dari sebuah pertubuhan sukarela yang diberikan tugas menjemput seseorang tokoh ternama di lapangan terbang. Pengalaman tokoh tersebut ditahan pihak imigresen kerana tiada membawa pengenalan diri mampu diangkat oleh penulis ini menjadi cerita lucu.

Beberapa contoh cerpen di atas (sekadar mengangkat beberapa buah) untuk dijadikan panduan memperlihatkan betapa pekanya penulis Beb Sabariah terhadap setiap yang berlaku di sekitarnya. Kepakaan beginilah yang seharusnya ada pada setiap penulis.

Seperkara yang cukup menarik mengenai penulis wanita gigih ini, semua karya cerpennya mengambil latar tempat tempatan di Sarawak. Pendedahan begini amat sesuai sekali apabila dibaca oleh pembaca di peringkat nasional yang tidak banyak sedikit dapat memperkenalkan sosiobudaya Sarawak secara tidak langsung melalui karya sastera.

Meneliti karya-karya Beb Sabariah, kita dapat membuat kesimpulan yang konkrit: Inilah hasil kerja penulis yang mempunyai ilmu dan terdidik dalam bidang berkenaan.

Satu kebanggan dan pujian yang harus diberikan kepada Beb Sabariah yang pernah bertugas sebagai pendidik selama 35 tahun ini, beliau bermula lewat dalam bidang penulisan biarpun minat bercambah dalam usia remajanya.

Dengan ini Beb Sabariah berjaya membuktikan usia bukanlah ukuran kejayaan atau kegagalan bagi seseorang penulis kerana yang paling utama ialah kesungguhan serta ilmu yang dipelajari secara khusus melalui bengkel-bengkel yang banyak diadakan secara formal di negara ini; apatah lagi jikalau mengikuti pengajian ilmu sastera dan penulisan di pusat-pusat pengajian tinggi.

Kehadiran Beb Sabariah di arena kesusasteraan adalah umpama menyaksikan setaman mawar magenta berkembang mewarnai dunia penulisan yang selalu banyak cabarannya. Dan dalam cabaran yang silih berganti ‘mawar magenta’ yang satu ini berjaya muncul di tengah sekian banyak mawar-mawar lain yang pelbagai warna namun tetap mempunyai bau yang satu: harum semerbak menyegarkan alam. - Zaharah Nawawi USJ Selangor 9 Feb. 2007

http://bebsabariah.blogspot.com/

No comments: